Thursday 4 October 2012

Kemahiran Tambahan Dalam Menghadapi Alam Pekerjaan



SELAIN AKADEMIK, APAKAH KEMAHIRAN LAIN YANG PERLU ANDA KUASAI UNTUK MENGHADAPI ALAM KERJAYA NANTI? NYATAKAN SEBAB-SEBAB KEMAHIRAN ITU ANDA MAHU KUASAI.

          Kes pengangguran dalam kalangan graduan universiti menunjukkan peningkatan yang ketara. Statistik dari Jabatan Perangkaan menunjukkan bilangan graduan yang menganggur mencecah 76,200 orang disebabkan kurangnya kemahiran untuk menghadapi alam kerjaya. Keadaan ini amat membimbangkan banyak pihak terutama kepada mahasiswa lain yang bakal tamat pengajian.
        Kemahiran yang dimaksudkan tersebut adalah kemahiran komunikasi. Kebanyakkan organisasi atau syarikat amat menitikberatkan kemahiran komunikasi sedangkan kebanyakkan graduan beranggapan bahawa menumpukan sepenuhnya kepada prestasi akademik lebih penting berbanding kemahiran komunikasi. Sebagai contoh, sewaktu temuduga majikan lebih tertarik untuk melihat kebolehan calon tersebut berucap berbanding prestasi akademik di atas kertas, banyak graduan yang gagal sewaktu sesi temuduga walaupun keputusan akademik mereka memuaskan. Ini disebabkan mereka gagal menunjukkan kebolehan komunikasi mereka kepada bakal majikan mereka.
         Kemahiran komunikasi juga adalah amat penting bagi sesebuah organisasi kerana setiap aktiviti yang dijalankan memerlukan komunikasi yang berkesan supaya setiap pekerjaan dapat dijalankan dengan mudah. Sesebuah komunikasi yang berkesan akan membantu melancarkan proses penghantaran maklumat dari satu pihak ke satu pihak yang lain. Komunikasi yang berkesan juga memudahkan arahan diberi dan diterima dengan jelas. Sebagai contoh, seorang pekerja diberi arahan untuk membuat tempahan dewan bagi aktiviti jamuan syarikat. Sekiranya arahan yang diberikan jelas, pekerja tersebut akan membuat tempahan yang tepat seperti apa yang diarahkan dan jika arahan yang diberikan tidak jelas, maka sebaliknya mungkin berlaku.
       Kemahiran komunikasi juga perlu diberi keutamaan bagi setiap graduan kerana secara langsung dapat meningkatkan kemahiran kepimpinan seseorang graduan. Dengan adanya kemahiran ini, seseorang pemimpin akan lebih mudah untuk memberikan arahan kepada orang bawahannya. Selain itu, kemahiran komunikasi yang ditonjolkan oleh seseorang pemimpin akan membuatkan orang bawahan lebih menghormati pemimpin mereka dan inilah yang diperlukan dalam organisasi pada masa kini. Contohnya, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad yang merupakan seorang tokoh kepimpinan yang disegani dan juga seorang pemidato yang hebat.
       Secara keseluruhannya, seseorang graduan seharusnya sudah mampu memiliki kemahiran komunikasi ini kerana kemahiran komunikasi ini sudah meliputi pelbagai aspek yang mampu melayakkan kita untuk bersaing di alam pekerjaan. Dengan adanya kemahiran komunikasi yang dikuasai juga, seseorang graduan yang bakal memasuki alam pekerjaan akan mudah menyesuaikan diri dan meningkatkan tahap keyakinan diri di alam pekerjaan nanti.

(344 patah perkataan)

No comments:

Post a Comment