Saturday 20 October 2012

Pesta Konvokesyen ke-25 UUM



Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) kali ke-25 yang baru-baru ini telah dilangsungkan di UUM 18hb Oktober lalu telah memperlihatkan seramai 7669 graduan menerima ijazah masing-masing di dalam Dewan Muadzam Shah UUM. Saya yang secara langsung turut terlibat melihat rakan saya menerima ijazah sarjana mudanya dimana beliau menjemput saya sendiri untuk menghadiri sesi konvokesyennya pada sesi pertama minggu konvokesyen UUM. Melihat kegembiraannya setelah penat lelah belajar selama 4 tahun di UUM diakhiri dengan penganugerahan yang sungguh beristiadat amatlah mengagumkan saya.



Meskipun saya juga bakal menerima ijazah tidak lama lagi, namun pengalaman pergi ke dewan konvokesyen sebagai waris cukup memberi semangat kepada saya untuk berusaha memperoleh kejayaan sebaik kawan saya itu. Sifat iri hati dalam diri sememangnya timbul bila melihat rakan-rakan dan senior-senior seperjuangan telah selesai menerima ijazah sarjana muda mereka. Dengan gambar-gambar di laman sosial mereka yang siap berpakaian jubah dan topi kehormat mahasiswa itu begitu member semangat.




Pesta konvokesyen ke-25 kali ini tidak kurang hebatnya dengan pesta konvokesyen sebelum ini. Saya yang sudah 4 kali melihat dan berada di pesta-pesta konvokesyen sebelum ini menganggap pesta kali ke-25 ini tidak banyak berbeza dengan yang sebelumnya kerana seperti biasa pesta konvokesyen akan dipenuhi dengan gerai-gerai jualan, acara-acara hiburan, artis-artis tanah air, dan banyak acara lagi yang diadakan bersempena pesta konvokesyen.

Terdapat juga beberapa kekurangan dalam pesta kali ini, contohnya sewaktu saya menghadiri hari penganugerahan ijazah rakan saya, terlihat akan kehebatan pemain-pemain muzik yang dimainkan namun masalah PA system tidak lari dalam pesta tersebut, dengan kadar suara yang tidak seimbang dan terdapat bunyi dengung ketika sesi penganugerahan sijil berlangung.  Untuk kali ini, cuaca agak mengecewakan sedikit kerana hampir sepanjang pesta konvokesyen baru-baru ini berlangsung dalam keadaan hujan, namun tidak seteruk 2 tahun lepas sewaktu negeri kedah mengalami ancaman banjir dan seterusnya majlis konvokesyen terpaksa ditangguhkan. Ianya mengakibatkan banyak kerugian. Berbeza kali ke-25 ini, hujan yang turun tidak terlalu lebat namun terdapat beberapa program yang terpaksa dibatalkan akibat cuaca yang kurang baik itu.
             


        Pesta konvokesyen adalah suatu yang wajib yang dilaksanakan seiring dengan majlis konvokesyen. Pesta konvo sudah menjadi satu tradisi untuk memeriahkan lagi majlis konvokesyen bagi meraikan mahasiswa dan mahasiswi yang sudah tamat pengajiannya. Namun, terdapat sedikit pandangan yang saya ingin luahkan berkenaan pesta konvokesyen. Sememangnya perkara ini adalah baik, kerana sebagai tanda meraikan mereka-mereka yang telah tamat pengajian disamping mempromosikan dan menghiburkan para pengunjung yakni para waris yang datang ke UUM semata untuk melihat anak mereka menerima segulung ijazah, akan tetapi kesederhanaan ini haruslah ada, contohya, apabila melibatkan kos mengambil artis-artis mahal, ini sepatutnya boleh  dirundingkan lagi. Tidak salah untuk mengambil artis mahal, tetapi haruslah bertepatan dengan kos projek. Kedua, berkenaan aktiviti-aktiviti yang dijalankan haruslah selaras dengan akademik dan agama, bukannya atas hiburan sahaja. Contohnya, tarian-tarian barat dan filem-filem yang ditayangkan sempena konvokesyen haruslah bersesuaian dengan penontonnya. Ini kerana, di Malaysia, sudah banyak unsur-unsur luar yang tidak baik masuk ke dalam Negara, akibatnya terus mempengaruhi remaja Malaysia sekarang.
            
      Oleh itu, kita sebagai mahasiswa yang berpendidikan harus menjadi tunjang dalam merubah masa depan negara, bermula dari dalam universiti dan seterusnya boleh memperbaiki sahsiah dan akidah remaja lain yang sebaya mahupun adik-adik kita sendiri. 
                                                                      
                                                                     (500 patah perkataan)

Thursday 4 October 2012

Kemahiran Tambahan Dalam Menghadapi Alam Pekerjaan



SELAIN AKADEMIK, APAKAH KEMAHIRAN LAIN YANG PERLU ANDA KUASAI UNTUK MENGHADAPI ALAM KERJAYA NANTI? NYATAKAN SEBAB-SEBAB KEMAHIRAN ITU ANDA MAHU KUASAI.

          Kes pengangguran dalam kalangan graduan universiti menunjukkan peningkatan yang ketara. Statistik dari Jabatan Perangkaan menunjukkan bilangan graduan yang menganggur mencecah 76,200 orang disebabkan kurangnya kemahiran untuk menghadapi alam kerjaya. Keadaan ini amat membimbangkan banyak pihak terutama kepada mahasiswa lain yang bakal tamat pengajian.
        Kemahiran yang dimaksudkan tersebut adalah kemahiran komunikasi. Kebanyakkan organisasi atau syarikat amat menitikberatkan kemahiran komunikasi sedangkan kebanyakkan graduan beranggapan bahawa menumpukan sepenuhnya kepada prestasi akademik lebih penting berbanding kemahiran komunikasi. Sebagai contoh, sewaktu temuduga majikan lebih tertarik untuk melihat kebolehan calon tersebut berucap berbanding prestasi akademik di atas kertas, banyak graduan yang gagal sewaktu sesi temuduga walaupun keputusan akademik mereka memuaskan. Ini disebabkan mereka gagal menunjukkan kebolehan komunikasi mereka kepada bakal majikan mereka.
         Kemahiran komunikasi juga adalah amat penting bagi sesebuah organisasi kerana setiap aktiviti yang dijalankan memerlukan komunikasi yang berkesan supaya setiap pekerjaan dapat dijalankan dengan mudah. Sesebuah komunikasi yang berkesan akan membantu melancarkan proses penghantaran maklumat dari satu pihak ke satu pihak yang lain. Komunikasi yang berkesan juga memudahkan arahan diberi dan diterima dengan jelas. Sebagai contoh, seorang pekerja diberi arahan untuk membuat tempahan dewan bagi aktiviti jamuan syarikat. Sekiranya arahan yang diberikan jelas, pekerja tersebut akan membuat tempahan yang tepat seperti apa yang diarahkan dan jika arahan yang diberikan tidak jelas, maka sebaliknya mungkin berlaku.
       Kemahiran komunikasi juga perlu diberi keutamaan bagi setiap graduan kerana secara langsung dapat meningkatkan kemahiran kepimpinan seseorang graduan. Dengan adanya kemahiran ini, seseorang pemimpin akan lebih mudah untuk memberikan arahan kepada orang bawahannya. Selain itu, kemahiran komunikasi yang ditonjolkan oleh seseorang pemimpin akan membuatkan orang bawahan lebih menghormati pemimpin mereka dan inilah yang diperlukan dalam organisasi pada masa kini. Contohnya, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad yang merupakan seorang tokoh kepimpinan yang disegani dan juga seorang pemidato yang hebat.
       Secara keseluruhannya, seseorang graduan seharusnya sudah mampu memiliki kemahiran komunikasi ini kerana kemahiran komunikasi ini sudah meliputi pelbagai aspek yang mampu melayakkan kita untuk bersaing di alam pekerjaan. Dengan adanya kemahiran komunikasi yang dikuasai juga, seseorang graduan yang bakal memasuki alam pekerjaan akan mudah menyesuaikan diri dan meningkatkan tahap keyakinan diri di alam pekerjaan nanti.

(344 patah perkataan)