Saturday 24 November 2012

Apakah kerjaya yang sesuai anda ceburi dengan ijazah yang anda miliki itu? Nyatakan beberapa sebab anda memilih kerjaya itu.





Ramai graduan yang masih menganggur pada ketika ini adalah disebabkan kerjaya yang dipilih oleh mereka tidak setaraf dengan kelayakan dan ijazah yang diperlukan untuk sesebuah pekerjaan. Hal ini disebabkan ijazah yang dimiliki jauh menyimpang dan tidak ada kaitan dengan kerjaya yang ingin dipohon.

Kerjaya yang saya fikirkan sesuai dengan ijazah saya adalah menjadi seorang usahawan dengan membuka sebuah perniagaan sendiri. Perniagaan yang ingin diusahakan adalah membuka sebuah stesen minyak. Terdapat beberapa sebab mengapa saya memilih untuk menceburi kerjaya keusahawanan ini. Sebab utama adalah, sewaktu di universiti saya banyak mempelajari hal-hal berkaitan keusahawanan selaras dengan ijazah yang saya miliki iaitu Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan. Di dalam bidang ini, saya telah mengambil mata pelajaran keusahawanan di mana di dalam subjek tersebut saya mempelajari banyak hal berkaitan cara-cara untuk membuka perniagaan bermula daripada pinjaman modal sehingga pengurusan kewangan dan banyak lagi ilmu-ilmu yang berkaitan.

Sebab kedua yang menyakinkan saya untuk menceburi bidang keusahawanan ini adalah disebabkan potensi yang luas yang ada pada perniagaan stesen minyak. Ini kerana kepesatan jumlah penduduk yang semakin meningkat menyebabkan semakin banyak bilangan kenderaan yang akan dijangka pada tahun mendatang hasil daripada keperluan untuk menampung bilangan penduduk dan kenderaan yang semakin banyak. Sebagai contoh, di sintok sahaja bilangan penduduk dan kawasan perumahan mula meningkat begitu juga dengan bilangan kenderaan. Oleh itu saya memilih sintok sebagai lokasi strategik untuk saya membuka perniagaan.

Sebab lain juga adalah, saya mempunyai pengalaman dalam menguruskan stesen minyak. Ini kerana saya pernah bekerja di salah sebuah stesen minyak. Melalui pengalaman ini, saya belajar banyak perkara, salah satunya adalah pengurusan kewangan stesen minyak, pengendalian mesin pam minyak, pengurusan pembekal barang, gelagat pengguna dan lain-lain.
Oleh itu, kerjaya keusahawanan sangat sesuai buat saya selaras dengan kursus yang pelajari semasa menuntut di Universiti Utara Malaysia sebagai pelajar jurusan Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan.   

Kenal pasti suatu isu politik semasa luar negara. Bincangkan.





Sekarang ini, banyak isu-isu politik luar negara yang sudah menjadi bahan perbualan masyarakat Malaysia. Penduduk Malaysia kini bukan sahaja tertarik untuk mengetahui malah ada yang lebih arif jika isu-isu politik semasa luar negara dibincangkan. Kali ini, kita juga akan membincang tentang isu politik luar negara tetapi tidaklah seperti perbualan-perbualan mereka di kedai kopi, kita akan menjurus secara sepintas lalu mengenai satu isu politik luar negara tanpa mengkritik atau membandingkan mana-mana pihak.

Kali ini kita akan berbicara tentang isu keselamatan penggunaan nuklear dalam aspek antarabangsa. Secara amnya, kebanyakan negara mengambil dan  menjalankan kajian bahan nuklear ini adalah untuk tujuan yang baik, yakni digunakan sebagai sumber gantian yang lebih efisyen berbanding sumber-sumber lain. Namun, penggunaan bahan nuclear ini bukan sahaja memberikan pandangan buruk dari negara lain, bahkan boleh memudaratkan negara itu sendiri. Contohnya seperti berlakunya kemalangan kebocoran nuklear di Fukushima, Jepun pada tahun yang lalu, bantahan terhadap penggunaan tenaga elektrik nuklear semakin kuat. Pada masa ini, situasi di Semenanjung Korea masih meruncing. Oleh sebab itu, Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear ke-2 diadakan di Seoul, Republik baru-baru ini. Presiden Republik Korea, Lee Myung-bak berkata, sidang kali ini bertujuan mewujudkan dunia yang bebas daripada senjata nuklear, berusaha mengurangkan dan meningkatkan kawalan terhadap bahan nuklear. 

Masyarakat antarabangsa kini memberikan perhatian yang lebih tinggi terhadap keselamatan nuklear dan meningkatkan kerjasama dalam bidang tersebut. Tetapi, seiring dengan penggunaan tenaga nuklear dalam lingkungan yang semakin luas, risiko juga semakin meningkat tentang bahan nuklear merebak atau hilang. Keadaan ini menyediakan peluang kepada pengganas dan pertubuhan jenayah antarabangsa untuk memperoleh bahan nuklear, ini kerana bahan nuclear ini berpotensi menjadi bahan senjata yang sangat berbahaya dan mampu mengancam keselamatan sesebuah negara.  

Beberapa aspek utama yang perlu dititik beratkan dalam menangani masalah ini antaranya meningkatkan kerjasama antarabangsa untuk mencegah keganasan dalam bidang nuklear dan meningkatkan kerjasama untuk membanteras penyeludupan bahan nuklear dan bahan yang bersifat radioaktif. Kedua, menyelaraskan hubungan antara keselamatan nuklear dengan penggunaan tenaga nuklear secara damai. Komuniti antarabangsa harus boleh berdamai dan berbincang agar tiada salah faham antara negara dalam aspek penggunaan bahan nuclear ini.

Secara kasarnya apa yang dilihat kebanyakan di kaca television lebih menjurus bahan nuklear ini sebagai suatu masalah, namun banyak kebaikan yang boleh wujud melaluinya. Oleh itu, penggunaannya haruslah dititikberatkan dari masa ke semasa bagi mengelak masalah lain berlaku.

Saturday 20 October 2012

Pesta Konvokesyen ke-25 UUM



Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) kali ke-25 yang baru-baru ini telah dilangsungkan di UUM 18hb Oktober lalu telah memperlihatkan seramai 7669 graduan menerima ijazah masing-masing di dalam Dewan Muadzam Shah UUM. Saya yang secara langsung turut terlibat melihat rakan saya menerima ijazah sarjana mudanya dimana beliau menjemput saya sendiri untuk menghadiri sesi konvokesyennya pada sesi pertama minggu konvokesyen UUM. Melihat kegembiraannya setelah penat lelah belajar selama 4 tahun di UUM diakhiri dengan penganugerahan yang sungguh beristiadat amatlah mengagumkan saya.



Meskipun saya juga bakal menerima ijazah tidak lama lagi, namun pengalaman pergi ke dewan konvokesyen sebagai waris cukup memberi semangat kepada saya untuk berusaha memperoleh kejayaan sebaik kawan saya itu. Sifat iri hati dalam diri sememangnya timbul bila melihat rakan-rakan dan senior-senior seperjuangan telah selesai menerima ijazah sarjana muda mereka. Dengan gambar-gambar di laman sosial mereka yang siap berpakaian jubah dan topi kehormat mahasiswa itu begitu member semangat.




Pesta konvokesyen ke-25 kali ini tidak kurang hebatnya dengan pesta konvokesyen sebelum ini. Saya yang sudah 4 kali melihat dan berada di pesta-pesta konvokesyen sebelum ini menganggap pesta kali ke-25 ini tidak banyak berbeza dengan yang sebelumnya kerana seperti biasa pesta konvokesyen akan dipenuhi dengan gerai-gerai jualan, acara-acara hiburan, artis-artis tanah air, dan banyak acara lagi yang diadakan bersempena pesta konvokesyen.

Terdapat juga beberapa kekurangan dalam pesta kali ini, contohnya sewaktu saya menghadiri hari penganugerahan ijazah rakan saya, terlihat akan kehebatan pemain-pemain muzik yang dimainkan namun masalah PA system tidak lari dalam pesta tersebut, dengan kadar suara yang tidak seimbang dan terdapat bunyi dengung ketika sesi penganugerahan sijil berlangung.  Untuk kali ini, cuaca agak mengecewakan sedikit kerana hampir sepanjang pesta konvokesyen baru-baru ini berlangsung dalam keadaan hujan, namun tidak seteruk 2 tahun lepas sewaktu negeri kedah mengalami ancaman banjir dan seterusnya majlis konvokesyen terpaksa ditangguhkan. Ianya mengakibatkan banyak kerugian. Berbeza kali ke-25 ini, hujan yang turun tidak terlalu lebat namun terdapat beberapa program yang terpaksa dibatalkan akibat cuaca yang kurang baik itu.
             


        Pesta konvokesyen adalah suatu yang wajib yang dilaksanakan seiring dengan majlis konvokesyen. Pesta konvo sudah menjadi satu tradisi untuk memeriahkan lagi majlis konvokesyen bagi meraikan mahasiswa dan mahasiswi yang sudah tamat pengajiannya. Namun, terdapat sedikit pandangan yang saya ingin luahkan berkenaan pesta konvokesyen. Sememangnya perkara ini adalah baik, kerana sebagai tanda meraikan mereka-mereka yang telah tamat pengajian disamping mempromosikan dan menghiburkan para pengunjung yakni para waris yang datang ke UUM semata untuk melihat anak mereka menerima segulung ijazah, akan tetapi kesederhanaan ini haruslah ada, contohya, apabila melibatkan kos mengambil artis-artis mahal, ini sepatutnya boleh  dirundingkan lagi. Tidak salah untuk mengambil artis mahal, tetapi haruslah bertepatan dengan kos projek. Kedua, berkenaan aktiviti-aktiviti yang dijalankan haruslah selaras dengan akademik dan agama, bukannya atas hiburan sahaja. Contohnya, tarian-tarian barat dan filem-filem yang ditayangkan sempena konvokesyen haruslah bersesuaian dengan penontonnya. Ini kerana, di Malaysia, sudah banyak unsur-unsur luar yang tidak baik masuk ke dalam Negara, akibatnya terus mempengaruhi remaja Malaysia sekarang.
            
      Oleh itu, kita sebagai mahasiswa yang berpendidikan harus menjadi tunjang dalam merubah masa depan negara, bermula dari dalam universiti dan seterusnya boleh memperbaiki sahsiah dan akidah remaja lain yang sebaya mahupun adik-adik kita sendiri. 
                                                                      
                                                                     (500 patah perkataan)

Thursday 4 October 2012

Kemahiran Tambahan Dalam Menghadapi Alam Pekerjaan



SELAIN AKADEMIK, APAKAH KEMAHIRAN LAIN YANG PERLU ANDA KUASAI UNTUK MENGHADAPI ALAM KERJAYA NANTI? NYATAKAN SEBAB-SEBAB KEMAHIRAN ITU ANDA MAHU KUASAI.

          Kes pengangguran dalam kalangan graduan universiti menunjukkan peningkatan yang ketara. Statistik dari Jabatan Perangkaan menunjukkan bilangan graduan yang menganggur mencecah 76,200 orang disebabkan kurangnya kemahiran untuk menghadapi alam kerjaya. Keadaan ini amat membimbangkan banyak pihak terutama kepada mahasiswa lain yang bakal tamat pengajian.
        Kemahiran yang dimaksudkan tersebut adalah kemahiran komunikasi. Kebanyakkan organisasi atau syarikat amat menitikberatkan kemahiran komunikasi sedangkan kebanyakkan graduan beranggapan bahawa menumpukan sepenuhnya kepada prestasi akademik lebih penting berbanding kemahiran komunikasi. Sebagai contoh, sewaktu temuduga majikan lebih tertarik untuk melihat kebolehan calon tersebut berucap berbanding prestasi akademik di atas kertas, banyak graduan yang gagal sewaktu sesi temuduga walaupun keputusan akademik mereka memuaskan. Ini disebabkan mereka gagal menunjukkan kebolehan komunikasi mereka kepada bakal majikan mereka.
         Kemahiran komunikasi juga adalah amat penting bagi sesebuah organisasi kerana setiap aktiviti yang dijalankan memerlukan komunikasi yang berkesan supaya setiap pekerjaan dapat dijalankan dengan mudah. Sesebuah komunikasi yang berkesan akan membantu melancarkan proses penghantaran maklumat dari satu pihak ke satu pihak yang lain. Komunikasi yang berkesan juga memudahkan arahan diberi dan diterima dengan jelas. Sebagai contoh, seorang pekerja diberi arahan untuk membuat tempahan dewan bagi aktiviti jamuan syarikat. Sekiranya arahan yang diberikan jelas, pekerja tersebut akan membuat tempahan yang tepat seperti apa yang diarahkan dan jika arahan yang diberikan tidak jelas, maka sebaliknya mungkin berlaku.
       Kemahiran komunikasi juga perlu diberi keutamaan bagi setiap graduan kerana secara langsung dapat meningkatkan kemahiran kepimpinan seseorang graduan. Dengan adanya kemahiran ini, seseorang pemimpin akan lebih mudah untuk memberikan arahan kepada orang bawahannya. Selain itu, kemahiran komunikasi yang ditonjolkan oleh seseorang pemimpin akan membuatkan orang bawahan lebih menghormati pemimpin mereka dan inilah yang diperlukan dalam organisasi pada masa kini. Contohnya, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad yang merupakan seorang tokoh kepimpinan yang disegani dan juga seorang pemidato yang hebat.
       Secara keseluruhannya, seseorang graduan seharusnya sudah mampu memiliki kemahiran komunikasi ini kerana kemahiran komunikasi ini sudah meliputi pelbagai aspek yang mampu melayakkan kita untuk bersaing di alam pekerjaan. Dengan adanya kemahiran komunikasi yang dikuasai juga, seseorang graduan yang bakal memasuki alam pekerjaan akan mudah menyesuaikan diri dan meningkatkan tahap keyakinan diri di alam pekerjaan nanti.

(344 patah perkataan)